Ahad, 4 November 2012

Tamadun Islam dan Tamadun Barat 3: Perkembangan Sejarah Islam

Siri ke-3 penulisan ilmiah tentang Tamadun Islam dan perbandingannya dengan Tamadun Barat. Semoga memberi manfaat kepada generasi muda Islam masa kini...

Ringkasan Sejarah Perkembangan Tamadun Islam.

Secara umumnya Sejarah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. telah berkembang secara serius di seluruh dunia. Cukuplah dengan menilai semula pidato Sulaiman Al Qanuni yang mengambarkan kekuasaan Islam sejauh Eropah Tengah ke Lautan Hindi dalam deklarasi Bender, 1536 Masihi:

“Aku Hamba Allah dan sultan di dunia ini. Melalui kurniaan Allah juga aku menjadi pemerintah umat Muhammad keseluruhannya. Kebesaran Allah dan mukjizat Nabi Muhammad SAW, iaitu Al Qur’an adalah sahabat setiaku. Aku adalah Sulaiman yang namanya disebut-sebut dalam khutbah di Mekah dan Madinah. Aku Shah kepada Baghdad, Caeser kepada Byzantine dan Sultan kepada Mesir yang menghantar armada laut ke lautan Eropah, Maghribi dan India. Aku adalah sultan yang mengambil mahkota dantahta Hungary dan menyerahkannya kepada hamba Tuhan yang merendah diri. Voivoda Petru Raresh mengangkat kepalanya memberontak ke atasku, tetapi telapak kaki kudaku memijaknya tenggelam menjadi debu. Aku juga yang menawan tanah Moldavia”[1]

Pidato ini dipetik daripada buku Kuasa Kepimpinan Al Fateh, tulisan Muhammad Syaari Abd Rahman di halaman xxvi. Ianya sudah memadai untuk menggambarkan kekuatan dan kekuasaan Islam.

Zaman Khulafa’ Ar Rasyidin

Zaman Khulafa Ar Rasyidin yang bermula pada 632 Masihi sehingga 661 Masihi menghimpunkan beberapa siri pembinaan Tamadun Islam. Antaranya ialah pengumpulan dan penulisan Al-Qur’an pada 633 Masihi. Ketika itu Abu Bakar As Siddiq adalah sebagai khalifah. Selepas kematian Abu Bakar pada tahun 634 Masihi, Umar Al-Khattab dilantik menjadi khalifah dan memperluaskan penaklukan Islam ke Damsyik, Parsi, Syria, Mesopotamia, Palestin, Mesir dan Baitul Maqdis. Ketika ini juga Madinah membuat duit syiling iaitu pada tahun 640 Masihi. Dan selepas itu Umar Al Khattab mati dibunuh pada tahun 645 Masihi.[2]

Saidina Uthman bin Affan telah mengambil alih pemerintahan dan melancarkan beberapa kempen serangan di Afrika Utara dan Byzantine. 647 Masihi telah berjaya menumpaskan Parsi. Namun selepas itu berhadapan pula dengan tentangan terhadap pemerintahannya 648 Masihi dan akhirnya mati dibunuh pada tahun 656 Masihi.

Selepas Ali bin abi Talib dilantik menjadi khalifah, berlakunya satu peperangan yang dinamakan peperangan Jamal. Dan ketika itu pusat pemerintahan dipindahkan ke Kufah pada 657 Masih. Pada 659 Masihi Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah dan Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik. Saidina Ali mati dibunuh pada 661 Masihi dan tamatlah pemerintahan Khulafa al-Rasyidin manakala Muawiyah mengasaskan Kerajaan Bani Ummayyah.

Zaman Bani Ummayyah

                Muawiyah menjadi khalifah dan mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah 661 Masihi. Berjaya menakluki Kabul, Samarkand dan Tirmiz pada 670 hingga 677 Masihi. Muawiyah turut melancarkan kempen serangan ke atas Constantinople dan mati pada 680 Masihi.[3]
Yazid I telah menaiki takhta selepas itu dan era ini berlakunya peristiwa pembunuhan Saidina Hussein. Pada tahun 685 Masihi Khalifah Abdul Malik menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan juga turut melancarkan kempen menentang kaum Barbar di Afrika Utara pada 700 Masihi. Pemerintahannya pada tahun 711 Masihi menyaksikan penaklukan Sepanyol, Sind, dan Transoxiana juga pada tahun 713 Masihi tentera Islam menakluk Multan. Satu serangan ke atas Constantinople telah dilakukan tetapi tidak berjaya sama seperti kempen-kempen serangan sebelum ini.
Pada tahun 717 Masihi, Umar bin Abdul Aziz telah dilantik menjadi khalifah melalui wasiat khalifah sebelum ini. Pembaharuan yang hebat telah dijalankan. Tentera Islam juga turut menawan Nimes di Perancis pada tahun 725 Masihi. Pada tahun 749 Masihi menyaksikan kekalahan tentera Ummaiyyah di Kufah dan tentera Iraq ditangan tentera Abbasiyyah. Seterusnya Damsyik ditawan oleh tentera Abbasiyyah dan kejatuhan Kerajaan Bani Ummaiyyah disaksikan pada tahun 750 Masihi[4].

Kerajaan Abbasiyyah

Bermulanya Kerajaan Bani Abbasiyyah adalah pada tahun 752 Masihi. Pemberontakan Abdullah bin Ali ketika itu menyebabkan pembunuhan Abu Muslim berlaku. Maka pada 756 Masihi, Abd Rahman I mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah Sepanyol. Namun selepas penubuhan kota Baghdad pada tahun 763 Masihi, tentera Abbasiyyah telah mengalami kekalahan di Sepanyol.
Sultan Harun Ar Rashid telah dilantik menjadi khalifah pada 786 Masihi. dan melancarkan serangan ke atas selatan Perancis 792 Masihi. Pada eram inilah kaedah sainstifik dicipta juga Algebra telah berjaya dicipta oleh Al-Khawarizmi. Beberapa kempen menentang Byzantine,  Pulau Rhodes dan Cyprus dilancarkan dan mendapat kejayaan. Namun pada tahun 809 Masihi menyaksikan kewafatan Sultan Harun Ar Rashid dan Al-Amin dilantik menjadi khalifah seterusnya.[5]
Pada tahun 814 Masihi, perang saudara di antara Al-Amin dan Al-Ma'mun telah berlaku dan Al-Amin terbunuh manakala Al-Ma'mun telah dilantik menjadi khalifah. Beberapa peristiwa besar berlaku di antaranya ialah Masjid Besar Cordoba siap dibina, Multan dan Ghur ditawan diantara 1000 Masihi dan 1005 Masihi. Namun pada tahun 1055 Masihi, Baghdad ditawan oleh tentera Turki Seljuk dan pemerintahan Abbasiyyah-Seljuk bermula.
Kerajaan Abbasiyyah-Seljuk telah kekal memerinyah sehingga tahun 1258 apabila tentera Mongol memusnahkan Baghdad dan Tamadun Islam mengalami kejatuhan. Muhammad Syaari Abd Rahman di dalam bukunya Kuasa Kepemimpinan Al Fateh ada menyebutkan kekejaman dilakukan tentera Mongol:
‘Apabila umat Islam tergelincir daripada orbit Islam, kehinaan yang menakutkan ditimpakan keatas mereka. Ini persis apa dilakukan oleh 200,000 tentera Hulagu Khan ke atas 80,000 nyawa umat Islam dan Khalifah terakhir Abbasiyyah, Al Muktasim Billah. Khalifah , para Pembesar Baghdad serta umat Islam dibunuh dan mayat mereka dicampakkan ke Sungai Tigris. Bangunan–bangunan yang menjadi saksi ketamadunan Islam yang mempelopori sains dirobohkan. Hulagu Khan memusnahkan bahgdad dengan selogan datuknya, “Perkara yang nikmat dalam hidup kita adalah mengalahkan musuh, memancung leher mereka, merampas barang-barang berharga milik mereka dan mendengar tangisan orang yang mencintai mereka.” ’[6]
Sebelum daripada peristiwa menyayat hati ini, turut berlaku beberapa siri peperangan Salib, iaitu antara sejarah peperangan besar dalam perkembangan Tamadun Islam. 1095 Masihi peperangan Salib pertama berlaku. Tentera Salib telah menawan Baitulmuqaddis dan membunuh semua penduduknya. 1144 Masihi, Nuruddin Zengi tawan Edessa daripada tentera Kristian dan mencetuskan peperangan Salib kedua. 1187 Masihi, Salahuddin Al-Ayubbi berjaya menawan Baitulmuqaddis daripada tentera Salib. Perang Salib yang ketiga tetap berlaku pada tahun 1194 Masihi dan tahun itu turut menyaksikan tentera Muslim menawan Delhi di India. 1236 Masihi Tentera Kristian berjaya menawan Cordoba di Sepanyol. Dan pada 1258 Masihi Tentera Mongol menyerang dan memusnahkan Baghdad.
Kebangkitan Islam kembali berlaku pada tahun 1260 Masihi di mana Kerajaan Bani Mamluk di Mesir iaitu merupakan pertahanan Islam yang ketiga terakhir selepas Makkah & Madinah. Pimpinan Sultan Saifuddin Mahmud Al-Qutuz ketika itu telah berjaya menyatukan dan membetulkan kembali sistem pemerintahan Islam serta memelihara kembali kesucian Islam di dalam pentadbiran negara termasuklah menghapuskan rasuah. Atas usaha beliau tentera Islam telah berjaya menewaskan tentera Mongol di dalam pertempuran di Ain Jalut.

Kerajaan Uthmaniyah
Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah kerajaan Islam Turki Seljuk ditubuhkan di barat Anatolia pada tahun 1299 Masihi. Pada tahun 1301 Masihi, Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan dan dengan itu tertubuhnya Empayar Baru Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1345 Masihi, tentera Islam Turki Seljuk telah menyeberangi Selat Bosporus dalam memperluaskan penguasaan dan kemenangan pada tahun 1389 Masihi apabila tentera Uthmaniyyah menewaskan tentera Serb di Kosovo. Namun Timurlane, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyyah di Ankara pada tahun 1402 Masihi.[7]
Pada tahun 1451 Masihi Sultan Muhammad Al Fateh menjadi pemerintah di bawah Kerajaan Islam yang kuat dan hebat. Banyak kajian dan telitian dilakukan oleh Sultan Muhammad Al Fateh. Terutamanya dalam kempen serangan ke atas Kota Constantinople sebelum ini. Constantinople akhirnya  ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al Fateh pada tahun 1453 Masihi dan berakhirlah Empayar Byzantine. Sultan Muhammad Al Fateh telah memerintah dan mengendalikan 28 kempen peperangan sehinggalah baginda mati diracun pada tahun 1481 Masihi.
Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan pada tahun 1520 Masihi. Pada Tahun 1526 Masihi berlaku peperangan Mohacs. 1529 Masihi serangan dan kepungan ke atas Vienna dilakukan oleh tentera Islam dan pada 1571 Masihi Perang Lepanto pula berlaku. Sultan Sulaiman menggambarkan pemerintahannya dalam satu pidato:

“Aku Hamba Allah dan sultan di dunia ini. Melalui kurniaan Allah juga aku menjadi pemerintah umat Muhammad keseluruhannya. Kebesaran Allah dan mukjizat Nabi Muhammad SAW, iaitu Al Qur’an adalah sahabat setiaku. Aku adalah Sulaiman yang namanya disebut-sebut dalam khutbah di Mekah dan Madinah. Aku Shah kepada Baghdad, Caeser kepada Byzantine dan Sultan kepada Mesir yang menghantar armada laut ke lautan Eropah, Maghribi dan India. Aku adalah sultan yang mengambil mahkota dantahta Hungary dan menyerahkannya kepada hamba Tuhan yang merendah diri. Voivoda Petru Raresh mengangkat kepalanya memberontak ke atasku, tetapi telapak kaki kudaku memijaknya tenggelam menjadi debu. Aku juga yang menawan tanah Moldavia”. Sumber daripada buku Kuasa Kepimpinan Al Fateh oleh Muhammad Syaari Abd Rahman.[8]

Pada Tahun 1641 Masihi pemerintahan di ungguli oleh Sultan Muhammad IV. Serangan dan kepungan ke atas Vienna berlaku buat kali kedua. Dan Sultan Muhammad IV meninggal dunia 1687 Masihi. Beberapa siri peperangan dan pembaharuan serta kemerdekaan tanah-tanah Barat dan Eropah telah berlaku sehinggalah 1914 Masihi. Ketika ini Empayar Uthmaniyyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa tengah.
Kekalahan demi kekalahan berlaku dan pada tahun 1919 Masihi,  Mustafa Kamal At Tatturk mendarat di Samsun dan berusaha memusnah dan mengucar-kacirkan sistem kesultanan dan akhirnya dihapuskan. Berikutan itu Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik dan detik sejarah sedih berlaku 1924 Masihi apabila pejabat dan sistem khalifah di bawah pemerintahan Sultan Abdul Hamid II dihapuskan. Maka tamat pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah dan tiada lagi selepas itu kebangkitan berlaku dalam Tamadun Islam hingga kini.[9]



[1] Muhammad Syaari Abd Rahman. (2011). Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. Selangor, Batu Caves: PTS Millenia Sdn Bhd. M/S: xxvi.
[2] "http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Islam"
[3] "http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Islam"
[4] "http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Islam"
[5] "http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Islam"
[6]Muhammad Syaari Abd Rahman. (2011). Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. Selangor, Batu Caves: PTS Millenia Sdn Bhd. M/S: xxvi
[7] "http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Islam"
[8] Muhammad Syaari Abd Rahman. (2011). Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. Selangor, Batu Caves: PTS Millenia Sdn Bhd. M/S: xxvi
[9]“http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Islam"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan